Jeti Tanjung Dawai.
Jeti Tanjung Dawai.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang pemancing ditemukan lemas manakala lima rakannya selamat selepas bot dinaiki mereka terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, dekat sini hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot jam 11.15 pagi memaklumkan mengenai insiden berkenaan dan memberitahu seorang daripada mangsa didapati hilang.

Menurutnya, berikutan itu Maritime Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada 11.35 pagi.

"Bot Perkasa APMM Pulau Pinang dan Kuala Kedah diatur gerak ke lokasi kejadian dan hasilnya kita berjaya menemui bot dinaiki semua mangsa dalam keadaan terbalik.

"Semua mereka termasuk seorang yang ditemukan lemas memakai jaket keselamatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lima mangsa yang selamat terdiri daripada tekong bot dan empat kru masing-masing berusia 19 hingga 45 tahun.

"Mayat mangsa yang ditemukan lemas pula dibawa ke Jeti Tanjung Dawau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang daripada mereka cedera ringan dan dibawa bot nelayan ke jeti berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital manakala empat lagi mangsa dibenarkan pulang," katanya.

Mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38.

Noor Azreyanti mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan aktiviti di laut mengambil langkah keselamatan seperti merujuk ramalan kaji cuaca, memakai jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Selain itu, orang awam diminta melaporkan sebarang kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 7:09 PM