ANGGOTA keselamatan menguruskan mayat nelayan yang ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA keselamatan menguruskan mayat nelayan yang ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot. FOTO Ihsan APMM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuantan: Nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang di perairan Pulau Layak, Rompin dekat sini, pagi tadi.

Mangsa, Heng Kai San, 48, disedari hilang semasa bot bergerak di kedudukan sekitar 2.2 batu nautika timur laut Kuala Endau, Rompin kira-kira 8.30 pagi kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dijalankan selepas menerima maklumat kejadian.

"Mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan lebih kurang 8.4 batu nautika timur laut Kuala Endau.

"Pasukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima maklumat dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mengenai penemuan itu pada 9.06 pagi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat dibawa oleh Bot RH21 Pasukan Polis Marin (PPM) ke Jeti PPM Teluk Gading seterusnya dibawa ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

Kamal Ariffin berkata, pengecaman mayat dibuat dan disahkan oleh bot berkenaan.

Operasi Carilamat ditamatkan pada 10.30 pagi.

"Sebelum ini, Maritim Pahang turut menyalurkan maklumat kepada MRSC Johor dan aset udara Maritim bagi mendapatkan bantuan mengesan mangsa dengan keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 27.84 batu nautika persegi.

"Maklumat berkenaan kejadian turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi bagi memberi bantuan pencarian mangsa," katanya.

Katanya, APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut mahupun ditimpa bencana.

Tambah beliau, APMM juga akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutama nelayan tempatan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

From: Aina

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 10:20 PM