APMM Pahang menunjukkan kawasan pencarian bagi mengesan nelayan warga Myanmar yang hilang. FOTO ihsan Maritim Malaysia
APMM Pahang menunjukkan kawasan pencarian bagi mengesan nelayan warga Myanmar yang hilang. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Asrol Awang


Kuantan: Seorang nelayan warga Myanmar hilang manakala empat rakan senegara selamat selepas bot yang mereka naiki karam pada kedudukan 8.3 batu nautika tenggara Kuala Kuantan di sini, semalam.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, empat nelayan berusia antara 25 dan 37 tahun diselamatkan bot nelayan sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi rakan nelayan terbabit masih belum ditemukan.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang mula mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) pada 4.15 petang semalam apabila bot kelas C bersama lima nelayan warga Myanmar karam.

"Berdasarkan laporan, bot terbabit karam akibat dipukul ombak ketika laut yang bergelora berserta angin kencang.

"Bot ronda maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan carilamat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa pemilik bot lain untuk melakukan pencarian awal.

Katanya, carilamat yang ditangguhkan pada 7 malam semalam dan disambung jam 7 pagi hari ini turut membabitkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi.

"Dalam kes ini, APMM sentiasa mengingatkan kepada komuniti maritim khususnya bot nelayan tempatan terutama bot kecil supaya berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora yang sedang melanda kawasan pantai timur.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:48 PM