Saipul Adli Mohamad dan Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama beliau sepanjang mentadbir negara selama 17 bulan.

Katanya, beliau juga berterima kasih kepada petugas barisan depan yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua penjawat awam yang memberi kerjasama sepenuhnya kepadanya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan Perikatan Nasional.

"Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan (kabinet baharu) pada masa akan datang.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat kepada rakyat," katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jemaah Menteri yang berkorban masa dan tenaga bersamanya selama ini.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain.

Mohamad Zakeri Abd Rahman, 47, bersama isteri Jaliah Aliaman, 43, menonton perutusan khas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung di televisyen selepas menyerahkan surat perletakkan jawatan Perdana Menteri kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Mohamad Zakeri Abd Rahman, 47, bersama isteri Jaliah Aliaman, 43, menonton perutusan khas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung di televisyen selepas menyerahkan surat perletakkan jawatan Perdana Menteri kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

"Anda semua banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini," katanya.

Tan Sri Muhyiddin juga memberi ucapan terima kasih paling istimewa buat isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang menjadi sumber inspirasi sejak dahulu hingga ke hari ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dari parti Pas, STAR, SAPP dan GERAKAN, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian ahli Parlimen Umno yang terus memberikan sokongan kepadanya sehingga ke saat akhir.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.

"Kekal bertenang. Mudah-mudahan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:28 PM