Khairy Jamaluddin antara menteri yang mengesahkan bahawa Kabinet mengemukakan peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Khairy Jamaluddin antara menteri yang mengesahkan bahawa Kabinet mengemukakan peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa menteri Kabinet menggunakan media sosial untuk mengucapkan 'selamat tinggal', tidak lama selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Antaranya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang memuat naik catatan di Instagram, mengesahkan bahawa Kabinet mengemukakan peletakan jawatan kepada Seri Paduka.

"Terima kasih di atas peluang untuk sekali lagi berkhidmat untuk negara, semoga Allah merahmati Malaysia," tulis beliau dalam instastory.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet kira-kira tiga jam di Perdana Putra di Putrajaya, sebelum menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada tengah hari.

Bagaimanapun, setakat berita ini dikeluarkan, masih belum ada pengumuman rasmi berhubung status kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin dijangka membuat pengumuman khas mengenainya petang ini.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Semoga Allah SWT merahmati kita semua," tulis beliau dalam Twitter.

Ucapan terima kasih turut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi platform sama menegaskan pengunduran kerajaan adalah atas dasar tanggungjawab bersama.

"Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat," katanya.

Terdahulu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan hari ini berkemungkinan pengakhiran tugasnya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

"Pencapaian eksport komoditi negara untuk suku kedua (April-Jun) 2021 adalah penutup yang baik (Husnul Khatimah) untuk saya apabila nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding hanya RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu," katanya dalam catatan di laman Facebook.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pula memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan selama beliau berkhidmat.

"Kita kekal tenang dan berlapang dada. Semua keputusan secara bersama. Yang penting sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara.

"Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat, kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat," katanya dalam hantaran di Instagram beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:39 PM