Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan Negeri Perlis sudah mengeluarkan peringatan kepada semua jabatan kerajaan di negeri itu supaya setiap pegawai yang terpaksa merentas negeri setiap hari ke Perlis supaya kekal bertugas dari rumah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, tindakan berkenaan diambil bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 dari individu berkenaan yang tinggal di luar Perlis.

"Saya sudah keluarkan peringatan kepada semua jabatan supaya pegawai yang berulang alik dari Kedah ke Perlis atau Pulau Pinang supaya tidak perlu hadir ke pejabat dan cukup hanya bertugas dari rumah.

"Dalam soal ini, dari segi perkhidmatan yang dilakukan tidak pun terhenti dan masih tetap berjalan malah ada agensi kerajaan di negeri ini yang mengatakan mereka tiada masalah menggunakan pekerja atau kakitangan yang bekerja di rumah.

"Perkhidmatan masih tetap berjalan secara dalam talian dan langkah ini baik kerana ia tidak tertumpu untuk kakitangan atau pegawai ini berterusan masuk ke pejabat untuk bertugas selain langkah ini juga dapat mengelakkan jangkitan Covid-19 secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Khas Covid-19 Kuala Perlis di sebuah hotel, di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

AZMAN (kiri) meninjau aktiviti vaksinasi dilakukan secara ‘walk-in’ kepada sebahagian penduduk Kuala Perlis. FOTO Aizat Sharif.
AZMAN (kiri) meninjau aktiviti vaksinasi dilakukan secara ‘walk-in’ kepada sebahagian penduduk Kuala Perlis. FOTO Aizat Sharif.

Katanya, pihaknya turut memantau kes penularan jangkitan Covid-19 di Thailand terutama di bahagian selatan negara itu yang mana keadaannya dikatakan cukup merisaukan.

"Kebanyakan kes penularan jangkitan kes dari Wilayah Songkhla, Phuket dan Sadao didapati melebihi 100 kes bagi setiap kawasan di negeri berkenaan, ada juga yang mencecah sehingga 200 ke 300 kes.

"Jadi kita kena ambil tahu perkembangan di negeri jiran juga kerana ditakuti ia mampu merebak sehingga ke sempadan negara ini walaupun sekatan di sempadan negara termasuk negeri seperti Kedah sudah pun dilakukan dengan tegas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 3:33 PM