Zaid Salim

Marang: Seramai 95,000 pelajar di negeri ini bakal menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, program PICK untuk golongan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun itu selaras dengan pembukaan sesi persekolahan bermula Oktober ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan program untuk pelajar peringkat menengah itu dapat dilaksanakan sebelum sesi persekolahan bermula.

"Kita akan mulakan proses berkenaan sebaik sahaja menerima garis panduan pelaksanaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika meninjau proses vaksinasi secara walk-in di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV), Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

KASEMANI berbual dengan orang ramai ketika meninjau proses vaksinasi walk-in di PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang. FOTO Zaid Salim.
KASEMANI berbual dengan orang ramai ketika meninjau proses vaksinasi walk-in di PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang. FOTO Zaid Salim.

Beliau berkata, dari segi kapasiti seperti petugas, tempat dan bekalan vaksin mencukupi dan berkemampuan untuk melaksanakan program berkenaan.

"JKNT kini hanya menunggu garis panduan pelaksanaan sahaja dan berharap program berkenaan dapat dilaksanakan sebelum bermula sesi persekolahan," katanya.

Mengulas program vaksinasi walk-in, beliau berkata, proses berkenaan akan dilaksanakan di semua 14 PPV seluruh negeri bermula hari ini.

Kasemani berkata, JKNT menyediakan sebanyak 100 dos vaksin di setiap PPV untuk program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:00 PM