FOTO hiasan. FOTO DANIAL SAAD
FOTO hiasan. FOTO DANIAL SAAD
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat semalam.

Dalam kenyataan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan liputan vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang juga amat menggalakkan dengan 68.2 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak.

Katanya, Sarawak mencatatkan liputan negeri tertinggi penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak iaitu sebanyak 69.5 peratus.

"Bagi mempertingkatkan lagi kadar pengambilan dos penggalak dan memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan Covid-19 termasuk ancaman varian Omicron KKM menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in atau datang terus kepada semua penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas.

"Walk in ini dibenarkan di keempat-empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang yang sedang beroperasi pada masa ini bermula 27 Januari 2022," kata KKM menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut KKM, vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca.

Katanya, namun begitu, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang sudah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

"Individu yang ingin hadir secara walk-in perlu memastikan sijil vaksinasi digital di dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi," katanya.

Untuk rekod, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Dos Penggalak (PICKBooster) sudah bermula pada 13 Oktober 2021 sebagai satu daripada langkah mengawal pandemik Covid-19.

Bermula 15 Januari 2022, empat PPV Integrasi dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang, iaitu di World Trade Centre, Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkai, Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:50 PM