Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Peratusan pemberian vaksin kepada rakyat Perlis mampu mencapai 60 peratus dalam masa 10 hari dalam usaha negeri itu mencapai Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, keupayaan itu mampu dicapai dengan syarat jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada negeri itu tidak dikurangkan oleh kerajaan persekutuan.

"Peratusan pemvaksinan ini mampu mencapai kepada 60 peratus dalam masa 10 hari lagi sekiranya kita hendak mencapai Fasa Keempat PPN kerana sasaran kita adalah sekurang-kurangnya 3,000 vaksin diberikan sehari.

"Selain itu, peruntukan yang ada diberikan kepada Perlis jangan diubah kerana sekiranya diubah, ia akan merencatkan usaha untuk mencapai sasaran berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Khas Covid-19 Kuala Perlis di sebuah hotel, di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan status pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Perlis setakat ini menunjukkan peningkatan dalam pendaftaran dan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.

"Sehingga semalam, daripada 254,900 jumlah rakyat Perlis, seramai 89,255 orang atau 35.01 peratus sudah lengkap dua dos vaksin, manakala 122,719 orang atau 48.14 peratus pula sudah pun menerima satu dos vaksin.

"Daripada unjuran populasi itu, 181,200 adalah populasi dewasa dan 49.25 peratus individu berusia 18 tahun ke atas sudah pun lengkap menerima dua vaksin manakala 67.72 peratus lagi baru selesai menerima satu dos vaksin," katanya.

GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO NSTP

Beliau berkata, sebanyak 170,214 orang atau 66.8 peratus individu di negeri itu sudah mendaftar untuk diberikan vaksin.

"Selain itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas dilihat banyak mendaftar untuk divaksin iaitu sebanyak 88.5 peratus.

"Bagi individu 18 tahun ke atas pula adalah sekitar 87.1 peratus dan sebanyak 3,697 dos vaksin diberikan semalam," katanya.

Terdahulu, Azman bersama Penyelaras PICK Negeri Perlis, Dr Izwana Hamzah melawat dan meninjau operasi pemvaksinan khas yang dilakukan secara 'walk-in' kepada sebahagian penduduk Kuala Perlis.

Dianggarkan antara 500 hingga 600 hadir dalam program berkenaan yang dilaksanakan dalam usaha kerajaan negeri mencegah penularan jangkitan Covid-19 yang begitu meruncing di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:21 PM