Suri rumah, Napisah Abdul Wahab bersama suami, Ramli Ismail dan cucunya dari Kampung Jeram, Manir gembira selepas bekalan air bersih kembali pulih sesudah 12 hari terganggu. FOTO Malik Muhamad
Suri rumah, Napisah Abdul Wahab bersama suami, Ramli Ismail dan cucunya dari Kampung Jeram, Manir gembira selepas bekalan air bersih kembali pulih sesudah 12 hari terganggu. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas 12 hari bergelut dengan masalah bekalan air terputus, penduduk di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus menarik nafas lega apabila bekalan air bersih mula pulih sejak petang semalam.

Penduduk Kampung Jeram, Manir di sini, Napisah Abdul Wahab, 59, ia sekali gus meringankan beban dia dan suami, Ramli Ismail, 61 yang sebelum ini terpaksa mengambil air di pelbagai tempat ketika kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).

"Air paip kembali pulih petang semalam secara berperingkat, walaupun perlahan dan keruh sekurang-kurangnya kami tidak perlu keluar mencari air untuk kegunaan harian.

"Diharapkan selepas ini perkara sama tidak berulang terutamanya membabitkan tempoh yang lama," katanya.

Penduduk Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus, Ahmad Fauzi Yusof, 46, berkata, ketiadaan bekalan air bersih selama 12 hari begitu memeritkan ditambah pula air boring (telaga tiub) di rumahnya keruh dan berbau walaupun sudah ditapis.

"Tiada air hampir dua minggu begitu menyukarkan kami sekeluarga begitu juga dengan jiran, lebih baik tiada bekalan elektrik berbanding air.

"Sebelum ini saya terpaksa mengangkut bekalan air bersih dari pelbagai tempat sejauh 10 kilometer menggunakan kereta. Hari ini saya lega kerana bekalan air bersih sudah ada bermula petang semalam secara perlahan dan keruh.

"Kami harapkan selepas ini perkara sama tidak lagi berulang lebih-lebih lagi dalam tempoh yang begitu lama sambil meminta pihak berwajib sentiasa memantau saluran paip bagi mengelak perkara sama terjadi," katanya.

Krisis air di Kuala Nerus dan sebahagian di Kuala Terengganu yang membabitkan sebanyak 28,700 akaun adalah disebabkan pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Masalah selesai secara berperingkat bermula petang semalam sehingga hari ini.

Sejak berlakunya krisis ketiadaan air, selain Syarikat Air Terengganu (SATU), syarikat air beberapa negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terbabit dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) turut membantu membawa bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 12:01 PM