Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Seramai empat individu ditahan dengan dua daripadanya cedera selepas terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras, semalam.

Pergaduhan itu menggemparkan penduduk kerana menyerang menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada jam 6.37 petang di kawasan jalan raya taman perumahan berkenaan.

"Ketika polis tiba di lokasi kejadian terdapat tiga kereta yang ditinggalkan oleh kumpulan individu berkenaan di tempat kejadian.

TANGKAP layar pergaduhan membabitkan dua kumpulan. FOTO tular media sosial
TANGKAP layar pergaduhan membabitkan dua kumpulan. FOTO tular media sosial

"Tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menahan empat suspek yang disyaki terbabit di dalam kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, punca pergaduhan itu masih lagi dalam siasatan.

"Kejadian itu juga menyebabkan dua individu cedera dan kini sedang dirawat di hospital. Kes siasat mengikut Seksyen 326/128 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh berhubung dengan balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat iaitu Asisten Superintendan (ASP) Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 10:49 AM