TANGKAP layar video tular sekumpulan warga asing yang melakukan ziarah Aidilfitri di Kajang. FOTO tular media sosial
TANGKAP layar video tular sekumpulan warga asing yang melakukan ziarah Aidilfitri di Kajang. FOTO tular media sosial
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dan mengesan sekumpulan lagi warga asing yang melakukan ziarah Aidilfitri di satu penempatan di Sungai Sekamat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima dua video yang tular berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaparkan sekumpulan warga asing saling berkunjung dan sedang makan.

"Satu pasukan digerakkan untuk mengesan lokasi serta membuat siasatan seterusnya berjaya mengesan kejadian berkenaan berlaku di kawasan Sungai Sekamar, Kajang.

"Bertindak di atas maklumat berkenaan polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang berada di premis terbabit dan mengaku menganjurkan majlis berkenaan pada Khamis lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis kini masih mengesan individu yang hadir ke majlis berkenaan seperti video yang tular.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) (Pindaan 2021) dan Seksyen6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan atau menghubungi IPD Kajang, atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Zazali Kenek di talian 019-2990062," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 mini 36 saat menunjukkan sekumpulan warga asing mengadakan majlis bagi meraikan sambutan Aidilfitri.

Video terbabit tular dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:55 PM