ISMAIL Sabri, gambar fail.  FOTO NSTP
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 65 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menangani Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam melaksanakan 84,976 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,133 orang.

Katanya, ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,309 kilang, 14,237 premis perniagaan, 833 tapak pembinaan dan 322 asrama penempatan pekerja.

"Kerajaan sememangnya sudah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terdapat peningkatan insiden perlanggaran arahan kerajaan dan SOP diwartakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, katanya, semalam, 416 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 404 individu dikompaun manakala 12 lagi direman.

"Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng (Op Benteng) semalam berjaya menangkap 57 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas sembilan kenderaan darat.

Dalam operasi itu, katanya, sebanyak empat bot/kapal dan satu kenderaan darat turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

"Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 sekatan jalan raya (SJR) semalam," katanya.

Sementara itu, katanya, semalam, sebanyak 164 operasi disinfeksi dilaksanakan di seluruh

negara yang merangkumi 67 zon merah, tiga zon jingga dan lapan zon kuning.

Beliau berkata, operasi disinfeksi itu membabitkan 919 anggota Jabatan Bomba dan

Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 231 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 166 jentera JBPM.

"Secara kumulatifnya, sebanyak 32,382 operasi disinfeksi merangkumi 157 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

"Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 8:11 PM