SEMBILAN lelaki dan lapan wanita  ditahan berhibur dalam parti liar. FOTO Ihsan PDRM
SEMBILAN lelaki dan lapan wanita ditahan berhibur dalam parti liar. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Seramai sembilan lelaki dan lapan wanita termasuk seorang wanita warga Indonesia yang leka berhibur dalam parti liar di sebuah kondominium, di sini, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, semua individu berusia 19 hingga 48 tahun berkenaan ditahan Pasukan Task Force OP Covid-19 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada 1.15 pagi hasil maklumat awam.

Menurutnya, ketika ditahan ada individu di bawah pengaruh dadah, namun pemeriksaan lanjut tidak menemui barang terlarang itu.

"Seorang wanita menyewa kondominium itu untuk sehari dengan harga sewaan RM350 dan dia kemudiannya mengajak rakannya berparti di situ.

"Tiga lelaki dan dua wanita turut didapati positif methamphetamine hasil ujian awal saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, 16 individu turut dikompaun RM4,000 setiap seorang mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Menurutnya, wanita warga Indonesia berusia 35 tahun yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 3:41 PM