GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Sembilan individu termasuk dua dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di sini, semalam.

Operasi sempena Tahun Baharu Cina itu dilakukan 9 malam hingga 3 pagi tadi membabitkan 15 pegawai dan 68 anggota di beberapa lokasi di Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, empat individu berusia 35 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 ketika berjudi.

"Kita merampas 52 daun terup, meja, empat kerusi dan wang tunai RM350 dalam serbuan di rumah di Ayer Tawar itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 40-an mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing di Sitiawan dan Beruas.

Katanya, lelaki pertama ditahan 12.50 tengah malam dan pemeriksaan lanjut menemui 10 peket plastik disyaki methamphetamine anggaran 53.28 gram (g) dan kanabis seberat 0.24g dalam beg silang.

"Suspek kedua ditahan pada 1.45 pagi di Beruas dan sebelum itu dia yang memandu Perodua Kancil cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan pada beg suspek menemui lapan peket plastik lutsinar disyaki heroin dianggarkan seberat 64.50 g dan empat peket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat 76.17 g.

"Turut ditemui sepeket plastik lutsinar disyaki kannabis anggaran berat 1.51 g dan enam foil berisi 58 biji pil erimin 5," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

"Selain itu, turut ditahan masing-masing seorang lelaki dan wanita mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama, manakala seorang lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 di pusat hiburan di Sitiawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:23 PM