Polis memeriksa sebuah salon di Sitiawan selepas menjalankan operasi perniagaan bukan perkhidmatan perlu semalam. Foto Ihsan PDRM
Polis memeriksa sebuah salon di Sitiawan selepas menjalankan operasi perniagaan bukan perkhidmatan perlu semalam. Foto Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Tujuh individu dikompaun termasuk tiga penagih dadah yang turut ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah salon di sini, semalam.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu selepas dikesan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Team Task Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung yang menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan pada 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan didapati tiga lelaki berusia 23 hingga 31 tahun itu masing-masing didapati memiliki satu bungkusan dadah.

"Pemeriksaan pada suspek pertama menjumpai satu paket plastik lut sinar berisi heroin seberat 2.3 gram (g), suspek kedua memiliki methamphetamine seberat 2.2 g dan suspek ketiga juga ditemui methamphetamine seberat 0.45 g.

"Ketika serbuan juga mendapati ada tiga lagi lelaki dan seorang wanita berada dalam premis berkenaan, namun pemeriksaan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang pada mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek berkenaan mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki itu positif methamphetamine.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik premis dan enam individu dalam salon berkenaan.

"Pemilik premis itu dikompaun RM2,000 kerana menjalankan perniagaan bukan perkhidmatan perlu, manakala enam individu masing-masing dikenakan kompaun RM1,500 kerana tiada penjarakan fizikal.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Langkah Pencegahan (Peraturan 17) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (No.4)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 10:50 AM