Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini disebabkan faktor ujian calitan yang diadakan secara besar-besaran terhadap penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, penduduk di negeri ini tidak terus risau dan panik dengan kenaikan itu.

"Contohnya, kawasan PKPD di Selama sudah masuk kali kedua untuk ujian calitan terhadap penduduk kampung secara besar-besaran.

"Jadi, semakin banyak kita membuat ujian calitan di kawasan PKPD maka semakin bertambah (dapat mengesan kes positif), tetapi jangan risau jumlah yang tinggi ini kita berharap ia akan berkurangan," katanya kepada pemberita selepas meninjau di Program Imunisasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Poliklinik We Care Jelapang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penduduk terhadap peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Mohd Akmal berkata, penduduk diminta terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan agar wabak tidak menular.

"Difahamkan, ada satu tempat di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah pada satu ketika dahulunya ujian calitan juga diadakan secara besar-besaran dan menjadikan jumlah yang terlalu tinggi, tetapi kini mereka sudah boleh hidup dengan selesa kerana kes tidak lagi seperti dahulu.

"Ini bermakna dengan jumlah yang tinggi pada masa ini, kita berharap rakyat tidak panik dan risau dan cuma perlu menjaga SOP," katanya.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, berdasarkan jumlah vaksin yang akan diterima Ogos ini, Perak bakal membuka tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi iaitu di Kolej Telekom di Taiping, Tzu Chi di Taman Bercham Jaya di sini dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.

"Perkara berhubung pembukaan beberapa PPV Integrasi ini akan diumumkan daripada semasa ke semasa untuk merancakkan program vaksinasi di negeri ini," katanya.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 33,000 penerima vaksin menerima suntikan di PPV setiap hari, selain 89 PPV Pengamal Perubatan (GP) di klinik swasta beroperasi di negeri itu.

"Selain itu, seramai 99 pesakit Covid-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negeri ini sehingga Selasa lalu dan keadaan dilihat masih terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:01 PM