PERKHIDMATAN doktor udara akan dipertingkatkan.
PERKHIDMATAN doktor udara akan dipertingkatkan.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil langkah proaktif meningkatkan program vaksinasi jangkauan luar termasuk menggunakan perkhidmatan doktor udara.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi melakukan sebanyak mungkin vaksinasi.

Katanya, usaha itu bagi mencapai sasaran 60 peratus penduduk lengkap vaksin Covid-19 selepas berjaya mencatat 41 peratus penduduk lengkap vaksin pada 1 September lalu.

"Program vaksinasi jangkauan luar juga akan ditingkatkan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), selain di penjara dan pusat tahanan.

"Pada masa sama, pusat pemberian vaksin (PPV) di hospital juga akan mengambil inisiatif memberi suntikan vaksin kepada pesakit belum divaksin yang datang untuk temujanji klinik atau menunggu untuk discaj.

"Pemberian vaksin secara terus atau tanpa janji temu juga akan dilaksanakan di semua PPV Komuniti. Ketika ini, ada 214 PPV di seluruh Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat 1 September lalu, katanya, sebanyak 60.7 peratus penduduk Sabah menerima satu dos vaksin, manakala 41.4 peratus penduduk menerima dua dos lengkap.

Katanya, ia adalah peningkatan yang besar bagi negeri ini jika dibandingkan hanya 10 peratus penduduk lengkap vaksin pada 9 Julai lalu.

Mengulas isu kelewatan ujian saringan Covid-19 di Sabah, Dr Rose Nani berkata, secara keseluruhan sebanyak 4,888 ujian calitan mampu dilakukan sehari, ketika ini.

Katanya, ia berdasarkan keupayaan tiga makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kapasiti 1,188 ujian sehari, diikuti sebuah makmal kesihatan awam dengan kapasiti 1,000 ujian sehari dan satu makmal klinik kesihatan dengan kapasiti 400 ujian sehari.

"Selain itu, sebuah makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut membantu dengan kapasiti 200 ujian sehari, manakala dua lagi makmal swasta dengan kapasiti harian 2,100 ujian sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:24 PM