Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor tidak melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran sebaliknya melaksanakan saringan bersasar di kawasan berisiko di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah melaksanakan saringan secara bersasar dilihat lebih berkesan terutama dalam mengenal pasti kawasan berisiko.

Katanya, sebanyak 20,000 kit ujian Antigen Rapid Test ( RTK-Ag) akan digunakan bagi tujuan saringan bersasar di Johor Bahru berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah itu.

"Kit ujian RTK- Ag yang diterima daripada Singapura menerusi Yayasan Sultan Ibrahim mampu memberi keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh kira-kira lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus.

"Kita mengharapkan kit ujian RTK- Ag ini dapat membantu mengesan lebih awal kes jangkitan Covid-19 seterusnya dapat mendatarkan lengkungan kes baharu terutama di kawasan Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan beberapa lokasi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta bagi mencapai sasaran 50,000 vaksin sehari, sehingga Oktober ini.

Katanya, antara lokasi yang dicadangkan bagi PPV swasta di negeri ini termasuk bangunan pejabat, pusat membeli belah dan taman tema selain PPV pandu lalu.

"Sebagai contoh, daerah Johor Bahru ketika ini dapat mengekalkan antara 2,900 hingga 3,000 pemberian vaksin sehari, tetapi dengan sasaran yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, Johor perlu mempunyai keupayaan tidak kurang memvaksin 17,000 penerima sehari.

"Selain itu, beberapa PPV swasta di peringkat daerah seperti Batu Pahat, Muar dan Kluang turut dicadangkan di bangunan-bangunan kerajaan bagi membolehkan sasaran 50,000 penerima vaksin setiap hari di Johor dicapai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:46 PM