Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) meraikan penyerahan replika simbolik kerjasama pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara ITBM dengan UTM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) meraikan penyerahan replika simbolik kerjasama pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara ITBM dengan UTM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini, memeterai memorandum persefahaman (MoU), bagi membangunkan sistem terjemahan pintar dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

ITBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Sakri Abdullah, manakala mewakili UTM ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Rosli Md Illias, pada majlis pemeteraian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU bagi membangunkan mesin terjemahan pintar yang dijenamakan sebagai Al Powered Language Translation System (MyTranslate) itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry pada sidang media, menyifatkan kerjasama itu sebagai perkembangan yang sangat baik dan satu daripada contoh untuk kekal selari dengan perkembangan teknologi AI, dalam semua aspek.

Beliau berkata MyTranslate juga membolehkan bahan rujukan dalam pelbagai disiplin, disimpan dalam satu tempat bagi kemudahan akademik pada masa hadapan.

"Apa yang kita dapati sekarang ini ialah banyak karya buku yang ditulis dalam pelbagai disiplin termasuk istilah teknikal, tetapi tidak diletakkan dalam satu bentuk rujukan khas.

"Jadi dengan usaha ini, bermakna semua istilah yang berkaitan dengan pelbagai disiplin teknikal seperti perundangan dan sains, boleh dirujuk oleh mana-mana pihak dengan lebih mudah," katanya.

Berdasarkan siaran media, MoU itu antara lain menggariskan kerjasama yang menggabungkan kepakaran UTM, yang memiliki fakulti AI dan ITBM dalam pemilikan data penterjemahan untuk membangunkan MyTranslate, selain menyaksikan pejabat satelit UTM-ITBM akan ditubuhkan di UTM Johor Bahru, Johor.

Sakri menerusi siaran media sama berkata terdapat keperluan untuk satu sistem terjemahan yang mengangkat Bahasa Melayu dan ITBM sebagai peneraju utama industri terjemahan di Malaysia, mengambil tanggungjawab untuk memastikan Bahasa Kebangsaan itu digunakan dengan tepat dan betul.

"ITBM mengakui dan menghargai kewujudan sistem terjemahan lain yang sedia ada seperti Google Translate dan Bing Micosoft Translator.

"Namun, tanggungjawab untuk mengangkat Bahasa Melayu dan memastikan penggunaannya yang betul dan tepat, tidak dapat direalisasikan melalui penggunaan sistem ini. Maka, ada keperluan satu sistem serupa diwujudkan dalam konteks Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 10:50 PM