Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Perak dijangka menutup kesemua 25 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hujung bulan ini berikutan kadar vaksin di negeri ini sudah mencapai 95 peratus bagi suntikan dos pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamaruddin berkata, setakat ini sebanyak sembilan daripada 25 PPV sudah ditutup secara berperingkat sejak 16 September lalu.

"Saya terbabit dengan mesyuarat bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan baru-baru ini mereka mengesyorkan agar PPV ditutup pada bulan ini.

"Maklumat yang kita dapat, mungkin PPV yang terakhir yang akan ditutup adalah Stadium Indera Mulia," katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, walaupun PPV di negeri ini ditutup tetapi program vaksinasi masih berjalan secara perkhidmatan bantuan (outreach) dan di klinik kesihatan.

"Apabila PPV ditutup orang ramai akan tertanya-tanya lokasi untuk mereka yang belum selesai vaksinasi, kita akan menggiatkan kempen outreach dan bagi mereka yang belum selesai dos pertama mereka akan dipanggil ke hospital, klinik kesihatan kerajaan serta swasta berdekatan.

"Jangan risau, vaksinasi masih diteruskan kerana hanya PPV utama sahaja yang akan ditutup," katanya.

Katanya, penutupan PPV dilakukan kerana sudah mencapai sasaran vaksinasi di kawasan berkenaan.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:31 PM