Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Sindiket penyeludupan dikesan membungkus guni berisi daun ketum dengan plastik hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terutama pada waktu malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor Perak Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil pemantauan yang dilakukan pada 2.30 pagi hari ini mengesan 10 guni yang dibalut plastik hitam untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, 10 guni mengandungi daun hijau disyaki daun ketum disimpan kawasan Kampung Kolam, Padang Kolam, Padang Besar di kawasan semak berhampiran dengan jalan keselamatan untuk menunggu masa diseludup ke negara jiran.

"Jumlah keseluruhan daun ketum sebanyak 300 kilogram (kg) dirampas dengan anggaran RM9,000.

"Ini adalah rampasan kelima yang dilakukan sejak empat hari lalu bermula 23 Julai lalu, " katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Azhar turut melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Pangkalan Semenanjung diketuai juruterbang Superintendan Muhamad Jefri Jaafar dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan.

Pemantauan udara dilakukan di sepanjang kawasan pagar sempadan negara Malaysia-Thailand menggunakan helikopter AW139 Udara 40.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:48 PM
Azhar Hashim (tengah) bersama Muhamad Jefri (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan daun ketum pada sidang media kejayaan Op Benteng Zon Utara di AKSEM Bukit Kayu Hitam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Azhar Hashim (tengah) bersama Muhamad Jefri (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan daun ketum pada sidang media kejayaan Op Benteng Zon Utara di AKSEM Bukit Kayu Hitam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR