POLIS merampas daun ketum yang ditemui dalam sebuah kereta Proton Iswara berhampiran sebuah kandang lembu di kampung Kolam, Padang Besar. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas daun ketum yang ditemui dalam sebuah kereta Proton Iswara berhampiran sebuah kandang lembu di kampung Kolam, Padang Besar. FOTO Ihsan PDRM
Aizat Sharif

Padang Besar: Polis menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum bernilai RM17,600 ke Thailand dalam dua serbuan di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam kejadian pada 1.45 tengah hari, anggota polis ternampak sebuah kereta ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan berhampiran kandang lembu di Kampung Kolam, di sini.

"Mereka melakukan pemeriksaan ke atas Proton Iswara itu dan didapati tiada sesiapa di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut dalam kereta berkenaan menemui 53 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 320 kilogram (kg) di tempat duduk belakang dan but belakang. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,600," katanya.

Menurutnya, pihaknya membuat satu lagi rampasan daun ketum berikutan penahanan warga emas berusia 70-an di sekatan jalan raya (SJR) Kaki Bukit, di sini, kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta Nissan Sunny dinaiki suspek dan menemui 10 bungkusan plastik hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum dalam but belakang kenderaan itu.

"Kita percaya daun ketum bernilai RM5,000 itu cuba dibawa ke Wang Kelian untuk diseludup ke Thailand menggunakan 'laluan tikus'.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:48 PM