SUPPRITENDAN Azhar Hashim (kanan) bersama Supritendan Muhamad Jefri Jaafar (dua kanan) menunjukkan gambar salah satu lokasi penyeludupan daun ketum pada sidang media kejayaan Op Benteng Zon Utara di AKSEM Bukit Kayu Hitam. FOTO Luqman Hakim Zubir
SUPPRITENDAN Azhar Hashim (kanan) bersama Supritendan Muhamad Jefri Jaafar (dua kanan) menunjukkan gambar salah satu lokasi penyeludupan daun ketum pada sidang media kejayaan Op Benteng Zon Utara di AKSEM Bukit Kayu Hitam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Upah lumayan yang diperoleh dengan menyeludup daun ketum ke negara jiran menyebabkan masih ada rakyat tempatan sanggup menjadi tali barut untuk menghantar daun berkenaan ke sana menerusi laluan tikus di pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Tambahan pula kawalan ketat di sempadan menerusi Op Benteng berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan penyeludup kian terdesak dan sanggup melakukan pelbagai cara asalkan dapat memperoleh wang.

Difahamkan, harga pasaran daun ketum boleh mencecah tiga kali ganda iaitu RM150 sekilogram di negara jiran berbanding nilai pasaran tempatan di negara hanya RM30 sekilo.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nor Khamis berkata, ini berikutan banyak tangkapan dan rampasan daun ketum diperoleh di sekitar sempadan Malaysia-Thailand yang dipercayai ditinggalkan penyeludup.

Beliau berkata, penyeludup akan meninggalkan bungkusan guni yang berisi daun ketum berkenaan berhampiran kawasan semak di pagar sempadan dan akan mengambil peluang memikul guni berkenaan satu persatu sekiranya ada peluang.

"Mereka akan membaling setiap guni yang mengandungi daun ketum antara berat 30 kg hingga 50 kg itu ke pagar sempadan Thailand dan akan diambil oleh sindiket dari negara jiran apabila peluang itu ada.

"Malah hasil tinjauan kami melalui udara oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor Perak yang dilakukan oleh Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhar Hashim bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Semenanjung menggunakan helikopter jenis AW139 Udara 40 baru-baru ini mendapati terdapat beberapa guni putih berhampiran tembok sempadan Malaysia-Thailand yang jaraknya hampir dengan pagar negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam, di sini.

Menurut Mohd Nor, permintaan tinggi terhadap daun ketum terutama urat merah dari negara ini menyebabkan ada yang berani melakukan tugas menyeludup walaupun tahu risiko sekiranya ditahan.

Katanya, banyak laluan tikus dikesan melebihi 30 laluan di kawasan sempadan yang dipercayai digunakan sindiket untuk menyeludup.

"Ada yang sanggup seludup kira-kira lima hingga 10 kg daun ketum kerana apabila dijual, ia mampu memperoleh sekitar hampir RM2,000.

"Tidak dinafikan pergerakan mereka sentiasa diawasi tonto yang akan memastikan mereka selamat melakukan tugas berkenaan (menyeludup)," katanya.

Mohd Nor berkata, tugas PGA membabitkan sepanjang 105 kilometer laluan dari Bukit Kayu Hitam sehingga pesisir pantai Batu Putih, Perlis dikawal rapi anggotanya yang bertugas melakukan rondaan siang dan malam bagi memastikan tidak ada penyeludupan berlaku.

Beliau berkata, tidak dinafikan penyeludupan membabitkan minyak masak dan barangan larangan lain agak berkurangan tetapi daun ketum antara barangan yang mendapat permintaan tinggi sekarang ini.

"Modus operandi terbaru mereka sekarang ini dikesan menggunakan plastik hitam di luar guni putih yang mengandungi daun ketum bagi memastikan pihak berkuasa gagal mengesan aktiviti mereka terutama pada waktu malam.

"Namun kita berjaya mengesan taktik itu dan merampas 10 guni berisi daun ketum yang ditutup plastik hitam dianggarkan seberat 300 kilogram bernilai RM9,000 pada awal jam 2.30 pagi Selasa lalu," katanya.

Mohd Nor berkata, aktiviti penyeludupan tidak kira siang atau malam kerana bagi penyeludup, jika ada peluang, mereka akan lakukan dengan tempoh yang cepat.

Beliau berkata, dengan kerjasama agensi lain seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan rondaan di laut, penyeludup kini makin terdesak untuk melakukan penyeludupan.

"Mereka (penyeludup) sanggup buat apa saja demi untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah namun anggota PGA akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan bagi mengelak penyeludupan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 4:10 PM