Aizat Sharif


Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menemukan hampir satu tan daun ketum yang disembunyikan dalam dua kebun oleh sindiket penyeludupan bahan terlarang itu ke negara jiran, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Briged Utara, Superintendan Azhar Hashim berkata, penemuan itu susulan Op Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Covid Kawalan Persisiran Pantai Barat Utara Perlis oleh Batalion 3 PGA Bidor, Perak sejauh 105 kilometer di sekitar Perlis sejak 1 Julai lalu.

Katanya, rampasan pertama dibuat kira-kira jam 11.45 pagi oleh anggota yang menjalankan tugas rondaan dan penggeledahan di sebuah kebun getah di FELCRA Lubuk Sireh di sini membabitkan 14 guni mengandungi daun ketum seberat 420 kilogram.

Menurutnya, enam jam kemudian satu lagi penemuan dibuat pasukan yang melakukan rondaan di kawasan kebun di Chuping di sini, ke atas 17 guni mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram.

"Nilai keseluruhan daun ketum yang dirampas itu dianggarkan RM27,900 dan berdasarkan cara serta guni yang digunakan, kegiatan itu diyakini dilakukan sindiket yang sama.

"Semua guni itu disembunyikan di bawah timbunan daun kering serta ranting di kawasan semak 'laluan tikus' berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar bagi mengaburi mata anggota PGA yang meronda dan pemeriksaan," katanya kepada pemberita di Pos BKC 7 PGA Briged Utara di sini, hari ini.

 Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Superitendan Azhar Hashim menunjukkan bungkusan guni daun ketum yang dirampas daripada sindiket penyeludupan daun ketum dalam dua kejadian di Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Superitendan Azhar Hashim menunjukkan bungkusan guni daun ketum yang dirampas daripada sindiket penyeludupan daun ketum dalam dua kejadian di Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF

Menurut Azhar, harga daun ketum di negara ini dipercayai bernilai RM30 bagi sekilogram namun dijual dengan harga RM150 sekilogram di Thailand.

"Kita percaya bekalan daun ketum ini diperoleh dari Naka, Kedah dan penyeludup beroperasi pada waktu malam sehingga awal pagi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Sepanjang penugasan PGA Briged Utara dari Batalion 3, PGA Bidor, Perak di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Perlis bermula 1 Julai lalu, sebanyak 17 rampasan daun ketum seberat 4.2 tan membabitkan nilai RM122,700 berjaya dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:38 PM