Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 3 Bidor, Perak berjaya merampas 1.12 tan daun ketum dalam dua serbuan berasingan di Padang Besar semalam dan hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 3 Bidor, Perak berjaya merampas 1.12 tan daun ketum dalam dua serbuan berasingan di Padang Besar semalam dan hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Padang Besar: Dengan jarak sempadan Malaysia-Thailand hanyalah sekitar 15 kilometer (km), itu bukanlah penghalang kepada anggota sindiket penyeludupan di negara ini untuk menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran itu.

Ada anggota sindiket yang sanggup membawa guni berisi daun ketum itu menggunakan motosikal atau sebelum berjalan kaki sambil memikul guni berkenaan sejauh 450 meter untuk dicampakkan ke Thailand di mana rangkaian sindiket dari negara jiran itu sedang menunggu untuk membawa bekalan daun ketum itu.

Itu adalah antara modus operandi yang dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara selepas merampas 1,120 kilogram (kg) (1.12 tan) daun ketum yang bernilai RM21,600 dalam dua kes berasingan di sini, pada Selasa dan semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Azhar Hashim berkata, pasukannya bersama Skuadron Perisai 1 dan Perisai 3 Briged Utara kini mengambil alih tugas Op Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Benteng Covid Kawalan Pesisir Pantai Barat Utara Perlis serta kawalan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) bermula 1 Julai sehingga 1 Ogos hadapan.

"Dalam kejadian Selasa, jam 12.30 tengah malam itu, anggota kita yang menjalankan tugas risikan mendapat maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan berlaku di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Padang Besar.

"Setelah pemantauan selama dua jam, kita menemui sebuah pondok tidak bernombor di kampung berkenaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

"Pemeriksaan selanjutnya di pondok berkenaan berjaya menjumpai 1,000 kg daun hijau disyaki daun ketum yang diisi dalam 20 guni putih dan 19 plastik hitam dalam pondok berkenaan, namun tiada suspek atau sebarang tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Laluan Keselamatan PGA Briged Utara, di sini semalam.

Katanya, rondaan selanjutnya semalam kemudian membawa kepada penemuan empat guni mengandungi 120 kg daun ketum di Kampung Melayu Padang Besar yang dipercayai akan diseludup ke Thailand menggunakan 'lorong tikus' di kampung berkenaan.

Kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sehingga hari ini, PGA Briged Utara dari Batalion 3 Bidor Perak berkaya merekodkan lapan kes rampasan daun ketum sebanyak 1,810 kg bernilai RM55,200.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:23 AM