Aizat Sharif


Padang Besar: Sindiket penyeludupan daun ketum di Perlis dilihat cuba mengubah taktik daripada menggunakan laluan di pagar sempadan sekitar Padang Besar kepada laluan hutan dan berbukit bukau di Wang Kelian, di sini, untuk menyeludup bahan terlarang itu ke Thailand.

Ini berdasarkan penemuan guni berisi daun ketum seberat 2.5 tan bernilai RM75,000 disembunyikan dalam kebun getah di Wang Kelian oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 3 PGA Bidor, Perak, pada Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Superintendan Azhar Hashim berkata, anggotanya yang melaksanakan rondaan menerusi penugasan Op Benteng Covid-19 Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Benteng Covid-19 Kawalan Persisiran Pantau Barat Utara Perlis menerima maklumat berhubung daun ketum disembunyikan di sebuah kebun getah berhampiran Kampung Wang Kelian.

"Kami melakukan tiga rampasan dalam kebun getah sama apabila rampasan pertama membabitkan 975 kilogram (kg) daun ketum ditemui dalam 45 guni putih dan plastik hitam di sebuah pondok kecil pada 6.23 petang.

"Pada 6.31 petang, kami menemui 420kg daun ketum disembunyikan dalam 14 guni putih diletakkan di tepi pokok getah dalam kebun itu dan lokasinya hanyalah sekitar satu kilometer (km) dari penemuan pertama.

"Pada 6.39 petang pula, anggota menemui 1,020kg daun ketum diletakkan dalam 42 guni putih dan plastik hitam berhampiran pokok pada jarak satu km dari penemuan kedua itu.

"Kami percaya, sindiket cuba menyembunyikannya dengan menutup bungkusan guni dan plastik hitam itu dengan kanvas bagi mengaburi orang ramai dan pihak berkuasa yang mungkin menyangka guni berkenaan adalah bekalan baja," katanya pada sidang media di Pos BKC PGA Briged Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya sindiket penyeludupan daun ketum di kawasan itu kini cuba mengubah laluan penyeludupannya dengan menjadikan laluan hutan dan kawasan berbukit di Bukit Wang Burma, Wang Kelian sebagai laluan untuk membawa daun ketum itu ke Thailand.

Menurutnya, sindiket penyeludupan di kawasan Padang Besar kini tidak hanya tertumpu kepada penyeludupan di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Padang Besar, sebaliknya kini sanggup mengupah orang untuk memikul guni berat berisi daun ketum itu dengan melalui laluan berbukit dan hutan.

"Sempadan Thailand hanya terletak lima kilometer sahaja dengan menggunakan laluan berbukit itu dan berdasarkan siasatan, jarang sindiket penyeludupan menggunakan laluan di Wang Kelian untuk menyeludup daun ketum.

"Malah, berdasarkan keadaan daun ketum ditemui itu, kami dapati ia baru sahaja sekitar sehari diletakkan di kawasan kebun getah itu dan kami percaya sindiket mengupah beberapa individu membawa bekalan daun ketum itu secara berperingkat dengan harga pasaran ketum di Thailand dianggarkan RM30 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, sepanjang penugasan Batalion 3 PGA Briged Utara di Perlis pada tahun ini, pihaknya mendapati modus operandi sindiket penyeludupan di negeri itu sering berubah mengikut keadaan semasa.

Menurutnya, secara logiknya agak sukar untuk sindiket itu mengharungi laluan berliku berkenaan terutama di kawasan Wang Kelian kerana ia membabitkan laluan berbukit bukau serta hutan tebal.

"Namun, sindiket ini sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan bekalan daun ketum dapat diseludup dengan selamat ke negara jiran meskipun terpaksa bersusah payah dengan cara agak mencabar seperti ini.

"Semua rampasan itu dibawa ke Pos BKC PGA Briged Utara sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:33 PM