BOT nelayan berkenaan. FOTO Ihsan APMM
BOT nelayan berkenaan. FOTO Ihsan APMM
Norsyazwani Nasri


Miri: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara pada jarak kira-kira 36 batu nautika dari barat Tanjung Lobang, di sini, kelmarin.

Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan jam 2.45 petang itu adalah berikutan aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi tertentu di perairan negeri ini.

"Semasa pemantauan dan rondaan Operasi Permai kira-kira 1.45 tengah hari, Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu mengesan sebuah bot mencurigakan pada jarak 2.4 batu nautika yang berada di lokasi yang dilaporkan itu.

"Berdasarkan struktur fizikal bot itu, ia disyaki bot nelayan Vietnam, KM Kota Kinabalu terus mengejar bot berkenaan dengan mengambil masa hampir satu jam untuk memintas dan berjaya menahannya setelah dihimpit rapat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dan geledah mendapati bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

"14 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia lingkungan antara 19 hingga 54 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

"Bot dan kesemua kru diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel 3,000 liter serta hasil tangkapan kira-kira 800 kilogram ikan turut dirampas.

"Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 9:15 AM