BOT nelayan Vietnam yang ditahan 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri.
BOT nelayan Vietnam yang ditahan 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri.
Oleh Erika George


Miri: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri mengambil masa setengah jam mengejar dan mengepung dua bot nelayan Vietnam yang 'merompak' hasil laut di Muara Sungai Miri di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, ketika kapal peronda KM Stapa membuat rondaan di 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri pada jam 1 petang itu, pasukan berkenaan melihat dua bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika dihampiri, kedua-dua bot terbabit cuba melarikan diri namun berjaya dipintas serta dikepung dalam masa setengah jam.

"Anggota membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua bot nelayan berkenaan dan menahan 13 kru termasuk dua tekong berusia 22 hingga 46 tahun.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua bot terbabit tidak memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Fauzi berkata, semakan juga mendapati semua nelayan warganegara Vietnam itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Turut dirampas peralatan menangkap ikan, bekalan diesel sebanyak 23,000 liter serta hasil tangkapan sebanyak satu tan.

Kedua-dua bot terbabit kemudiannya diiring masuk oleh pasukan APMM ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua kru menjalani ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga sebaik tiba di jeti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:33 PM