BERUANG matahari berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap Perhilitan Selangor di Kampung Parit 5 Gambut, Sungai Panjang, semalam. FOTO ihsan Perhilitan Selangor
BERUANG matahari berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap Perhilitan Selangor di Kampung Parit 5 Gambut, Sungai Panjang, semalam. FOTO ihsan Perhilitan Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Kebimbangan penduduk Kampung Parit 5 Gambut, Sungai Panjang, di sini, selepas kemunculan seekor beruang matahari di kebun mereka berakhir apabila haiwan itu ditangkap semalam.

Beruang jantan diberi nama Gambut itu berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor pada jam 4 pagi.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, sepasukan anggota Perhilitan Daerah Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi dan tiba dua jam kemudian.

"Anggota bertugas mendapati beruang jantan bersaiz dewasa masuk ke dalam perangkap.

"Susulan itu, pemantauan dilakukan dan pita amaran dipasang di kawasan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dennis berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan Pasukan Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) Sungkai, Perak dengan tembakan pelalian dijalankan.

"Beruang matahari itu dibawa ke pejabat Perhilitan Sungai Besar dan seterusnya dibawa ke lokasi pelepasan semula," katanya.

Terdahulu, tular di Facebook video memaparkan seekor beruang memasuki perangkap yang dipasang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 2:39 PM