SEBAHAGIAN daripada tanaman kontan pisang yang musnah dilanda banjir di Kampung Parit 10 Gambut. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SEBAHAGIAN daripada tanaman kontan pisang yang musnah dilanda banjir di Kampung Parit 10 Gambut. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

HANYA sempat menuai 45 peratus hasil tanamannya sebelum kebun pisang miliknya ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.

Pekebun kecil dari Kampung Parit 10 Gambut, Sungai Panjang di Sungai Besar, Arbain Sadri, 34, berkata, dia yang mula menuai tanamannya sejak 5 Ogos lalu tergamam selepas mendapati kebunnya ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Katanya, ladang pisang seluas 1.8 hektar itu mula diusahakannya sejak setahun yang lalu.

"Kejadian ini di luar jangkaan dan saya tidak menyangka banjir ini menenggelamkan tanaman yang diusahakan.

"Mujur 45 peratus tanaman pisang ini sudah dituai. Namun saya terkilan apabila banjir ini merosakkan sebahagian lagi tanaman yang belum dituai," katanya, semalam.

Arbain mendakwa selain dirinya, kira-kira 50 pekebun kecil lain yang mengusahakan pelbagai tanaman kontan seperti tembikai, kacang bendi dan labu di kawasan itu turut terjejas.

Dia bagaimanapun, reda dengan musibah terbabit.

ARBAIN menunjukkan sebahagian pisang yang sempat dituai sebelum banjir. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ARBAIN menunjukkan sebahagian pisang yang sempat dituai sebelum banjir. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Mungkin ada hikmah di sebalik kesusahan yang berlaku. Saya bersyukur Allah masih beri peluang untuk menikmati hasil tanaman ini.

"Saya tidak berputus asa dengan apa yang berlaku dan akan terus berusaha mengusahakan tanaman pisang ini sebagai sumber rezeki untuk saya sekeluarga," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekebun kecil, Mohd Hafiz Zakaria, 36, berkata, dia yang mengusahakan tanaman tembikai seluas 0.6 hektar turut terkesan selepas sebahagian besar tanamannya musnah dalam banjir.

"Kebanyakan tembikai yang sudah masak tidak sempat dituai menyebabkan ia busuk akibat ditenggelami air.

"Saya reda dengan musibah ini dan memohon pihak berwajib membantu kami supaya dapat bangkit semula seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 7:45 AM