PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM akan memberikan 20 peratus rebat kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilan.

Ia sebagai sokongan terhadap Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, sekaligus memberikan strategi lebih jelas untuk negara keluar daripada kemelut krisis Covid-19.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, kejayaan pelan itu juga bergantung pada kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pihak industri.

"Pematuhan ketat pada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi terbukti berkesan di kebanyakan negara.

"Kami percaya Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai semula kehidupan normal," katanya tadi.

Justeru itu katanya, SIRIM akan terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan selain melaksanakan peranan yang dimandatkan oleh kerajaan.

"Dalam menyokong usaha kerajaan untuk memerangi pandemik dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia, SIRIM QAS International akan memberikan 20 peratus rebat kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilan.

"Pemberian 20 peratus rebat ini bermula semalam sehingga hujung tahun 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.

"Melalui Penyelidikan Perindustrian SIRIM, organisasi ini juga aktif dalam pelbagai kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan berkaitan vaksin COVID-19 termasuk pengesahan proses pembuatan serta pengujian keselamatan lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, SIRIM juga memastikan perkhidmatannya meliputi sektor penting ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan memberi perkhidmatan secara jauh.

"Ini termasuk melakukan pengujian, pemeriksaan, penentusahan, pengukuran dan penentukuran untuk menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti produk yang diperbuat dan dijual di negara ini dalam tempoh berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:19 PM