Ahmad Sabirin Arshad
Ahmad Sabirin Arshad
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Sirim Qas International Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sirim Berhad melancarkan Sirim Trusted Mark Scheme (STMS) bagi produk peralatan komunikasi, elektrik dan hibrid.

Sirim Trusted Mark Scheme yang berasaskan kepada skim pensijilan produk ISO/IEC 17065 membolehkan peniaga yang diiktiraf untuk memaparkan simbol Trusted Partner di kedai dalam talian pada platform e-dagang.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, STMS bertujuan membantu peniaga dalam talian untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran produk serta meningkatkan trafik ke kedai dalam talian (online),

Selain itu, ia memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan pembelian yang lebih baik dengan meluaskan pilihan bagi mendapatkan produk yang berkualiti dan selamat, serta daripada sumber yang diyakini.

Katanya, pengenalan STMS adalah suatu usaha menangani kekhuatiran mengenai kredibiliti penjual dalam talian terutamanya berikutan pertumbuhan e-dagang di Malaysia yang berkembang bagi enam suku berturut-turut sejak Mac 2020.

"Sebagai contoh, pada 2020, terdapat peningkatan 112.5 peratus bilangan aduan berkaitan pembelian dalam talian berbanding tahun 2019.

"Tambahan pula, terdapat risiko yang lebih tinggi untuk sesuatu peralatan elektronik, elektrik dan multimedia itu rosak atau tidak memenuhi standard jika dibeli secara online. Ini boleh membawa kepada masalah pengoperasian dan juga kemalangan yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan.

Sirim Qas International juga mengadakan acara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lazada Malaysia yang membolehkan Lazada Malaysia menjadi rakan rasmi Sirim Qas International.

Sehubungan itu, Lazada Malaysia akan menjalankan aktiviti promosi untuk STMS termasuk mewujudkan kedai khas STMS (STMS Flagship Store) di platform LazMall, meletakkan logo STMS pada halaman produk penjual yang diperakui oleh STMS, serta mengadakan jualan kilat untuk menggalakkan pembeli untuk membeli daripada penjual yang diiktiraf.

Ahmad Sabirin berkata, kerjasama ini akan membantu dalam usaha mempromosi Lazada Malaysia sebagai platform beli-belah dalam talian yang dipercayai pengguna bagi pembelian barangan seperti peralatan komunikasi, perkakasan elektrik dan produk hibrid yang berkualiti dan mematuhi standard keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Lazada, Cheang Kiat Cheong berkata, pihaknya berbesar hati dapat membentuk kerjasama dengan Sirim Qas International.

"Ini juga akan membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara Sirim Qas International dan Lazada, sebagai langkah pertama dalam merealisasikan visi kami untuk membina pasaran e-dagang yang berasaskan kepercayaan tinggi antara penjual dan pembeli yang mementingkan peralatan elektronik yang diperakui, dipercayai, selamat dan diiktiraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:01 AM