LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) mengesahkan tayar celup adalah selamat jika digunakan dalam keadaan penggunaan yang betul berdasarkan fungsinya.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan dan Pengujian Produk SIRIM QAS International, Basori Selamat berkata, pada masa sama pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pensijilan produk tayar celup mengikut Standard Malaysia (MS) 224: 2005 Tayar Kitar Semula Pneumatik Untuk Kereta Penumpang dan Kenderaan Komersial - Spesifikasi (Semakan Kedua).

“Proses pensijilan barangan SIRIM ke atas pembuatan tayar celup dibuat berdasarkan penilaian pematuhan di premis pengilang yang mencakupi audit kualiti ke atas bahan mentah, pemeriksaan dan pemilihan tayar terpakai, proses pembuatan (memulih tayar terpakai untuk menjadi tayar celup) dan menguji kualiti tayar celup.

“Selain itu, elemen penandaan ke atas tayar celup, pemilihan sampel tayar celup untuk ujian prestasi dan jaminan kualiti tayar celup oleh pengilang tayar celup turut dinilai.

“Kos untuk mendapatkan pensijilan tayar celup termasuk kos pengujian antara RM10,000 hingga RM14,000 tertakluk kepada lokasi premis pengilang,” katanya, semalam.

BASORI SELAMAT
BASORI SELAMAT

Basori berkata, bagi memastikan prestasi tayar celup yang disijilkan selamat digunakan sewaktu penggunaan dalam keadaan biasa, pengujian dibuat di makmal yang diiktiraf sama seperti ujian untuk tayar baharu.

“Hanya pengilang yang memenuhi semua keperluan dinyatakan layak dipertimbangkan untuk menerima pensijilan barangan SIRIM dan seterusnya diberi kebenaran mempamerkan Tanda Pensijilan SIRIM pada tayar celup keluaran mereka.

“Tayar celup ini adalah selamat jika digunakan dalam kegunaan tayar yang betul berdasarkan fungsi tayar berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa melakukan audit pemantauan ke atas premis dan kualiti tayar celup bagi memastikan pelesen SIRIM sentiasa patuh kepada keperluan pensijilan barangan.

“Jika tayar celup yang dipensijilkan ini didapati gagal mematuhi keperluan standard, kita akan menggantung dan menamatkan lesen pengilang untuk menggunakan logo pensijilan barangan SIRIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:46 AM