Lembu yang diimport dari Thailand menjalani proses kuarantin dan dikesan mempunyai gejala LSD. FOTO Ihsan MAQIS
Lembu yang diimport dari Thailand menjalani proses kuarantin dan dikesan mempunyai gejala LSD. FOTO Ihsan MAQIS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penyakit kulit kental berbonjol (LSD) sudah merebak ke negeri ini apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor mengesan satu kes LSD membabitkan lima ekor lembu pedaging di Gombak, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, lima ekor lembu itu menunjukkan tanda klinikal penyakit dan sampel nodul (pembengkakan).

Menurutnya, darah haiwan ternakan itu sudah diambil dan dihantar ke makmal veterinar bagi ujian pengesahan.

Katanya, ladang berkenaan sudah diarahkan untuk mengasingkan ternakan yang sakit, menjalani kuarantin dan tidak memindahkan ternakan keluar atau memasuki ladang.

"Bagi pencegahan dan pengawalan penyakit, JPV sedang melaksanakan survelan aktif ke atas ladang lembu dan kerbau di negeri ini.

"Menurut statistik terkini (2020), premis yang berdaftar dengan JPV Selangor membabitkan 1,591 ladang. Ia membabitkan lembu pedaging (1,257 premis) , lembu fidlot (85 premis), lembu tenusu (181 premis), kerbau pedaging (52 premis) dan kerbau tenusu (16 premis)," katanya tadi.

Beliau berkata, khidmat nasihat kepada penternak lembu berhubung langkah mencegah LSD juga akan diberikan antaranya meningkatkan bio-sekuriti ladang; menghadkan bilangan pelawat dari luar; memusnahkan tempat-tempat pembiakan vektor seperti nyamuk, lalat dan agas di sekitar ladang; membuat pengasapan (fogging) dengan menggunakan mesin atau secara tradisional.

"Penternak juga dinasihatkan menerima ternakan baharu hanya dengan Surat Kebenaran Memindah ternakan (permit) dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang sah serta mengasingkan ternakan yang demam dan mempunyai gejala LSD dan menghubungi PVD dengan segera," katanya.

Izham berkata, bahagian Penguatkuasaan Veterinar juga mengawal sempadan negeri untuk mencegah kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit perjalanan dan SKV yang sah.

Katanya, kesalahan berkenaan (kemasukan ternakan tiada permit perjalanan dan SKV) menyebabkan ternakan atau hasilan ternakan disita, dirampas dan dikenakan penalti denda serta penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 3:45 PM