GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberikan peringatan mana-mana individu atau kumpulan yang membuat penyembelihan di luar tanpa permit sempena Aidiladha boleh dikenakan tindakan penalti.

JPV dalam satu kenyataan kepada Harian Metro berkata, permohonan permit penyembelihan ini dibuka dua minggu sebelum Aidiladha.

"Permohonan Permit Sembelih Luar (PSL) memerlukan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang dikeluarkan oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) di negeri.

"Semasa memohon PSL, pemohon perlu mengemukakan SKV yang sah dan lengkap bagi memastikan ternakan tersebut sihat dan layak untuk dimakan. Pengarah JPV Negeri akan mengeluarkan surat arahan kepada PPVD untuk mengeluarkan SKV bagi tujuan perayaan agama.

"Di dalam surat arahan tersebut, dinyatakan juga tempoh permohonan SKV bagi tujuan di atas berkuatkuasa. Pemohon boleh memohon PSL menggunakan Borang 4 bermula tarikh yang dinyatakan oleh Pengarah Negeri sehingga 13 Zulhijjah," katanya.

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman dalam pengumumannya berkata, umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini.

JPV berkata, berdasarkan data pada tahun 2022, sebanyak 19,448 ekor lembu, 2,752 ekor kambing, 858 ekor kerbau dan 308 biri-biri telah direkodkan bagi tujuan sembelihan di luar rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.

Selain itu JPV memaklumkan, tujuan permohonan permit ini bagi memastikan ternakan disembelih itu sihat di dalam Sijil Kesihatan Veterinar serta memastikan daging korban bersih dan selamat dimakan.

"Penyembelihan ternakan korban yang dilakukan di luar atau perkarangan masjid, surau, balai raya, padang awam, taman perumahan serta rumah persendirian perlu menitikberatkan aspek kebersihan dan kualiti bagi memastikan daging korban bersih dan selamat untuk dimakan.

"Di dalam PSL, dinyatakan juga tarikh, masa dan tempat penyembelihan untuk tujuan pemantauan oleh pemeriksa daging yang bertugas.

"Penyembelihan ternakan korban hendaklah menitikberatkan aspek syariat Islam dan kebajikan haiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 2:44 PM