GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah menjangkakan kira-kira 17,000 lembu dan kerbau ternakan di negeri ini berisiko dijangkiti penyakit kulit kental berbonjol (LSD) dengan kadar kematian kurang daripada tiga peratus.

Pengarahnya, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, sekiranya tidak dikawal kerugian secara keseluruhan akibat kematian ternakan dianggarkan sebanyak RM1.29 juta.

"Selain itu, kerugian juga boleh dialami disebabkan lembu menjadi tidak sihat dan kurus, kekurangan pengeluaran bagi lembu tenusu, kerosakan pada daging yang menyebabkan tidak boleh dijual dan juga kerosakan kulit ternakan.

"Di seluruh Kedah jumlah ternakan lembu dan kerbau adalah kira-kira 57,500 ekor daripada 5,000 penternak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 7,046 ternakan daripada 263 premis di negeri ini telah diperiksa oleh Jabatan Veterinar.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas semua premis itu mendapati berlaku tanda-tanda ternakan terkena penyakit LSD di 30 premis yang diperiksa membabitkan sebanyak 52 ternakan.

"Daripada 52 ternakan itu, 50 kes disampel dan terdapat 10 kes adalah positif manakala lima lagi negatif sehingga 12 Julai lalu," katanya.

Menurutnya, baki yang lain masih menunggu keputusan makmal dan empat ternakan yang positif sudah dilupuskan.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan haiwan ternakan di negeri ini dikesan dijangkiti LSD dengan tiga daripadanya terpaksa dilupuskan JPV Kedah sehingga 4 Julai lalu.

Ternakan berkenaan disahkan positif LSD selepas pemeriksaan terhadap 258 premis membabitkan 6,809 ternakan di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 3:59 PM