GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Seremban: Sebanyak 82 premis ternakan membabitkan 2,243 ekor lembu dan kerbau di seluruh negeri ini diperiksa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) bagi mengesan dan mencegah penularan penyakit kulit kental/berbonjol (LSD) sejak 24 Mei lalu. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor lembu pedaging baka kacukan di Rembau disyaki menunjukkan tanda klinikal penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan segera sudah diambil dengan mengasingkan ternakan itu dan dikuarantin pada 27 Mei lalu selain sampel lembu sudah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh, Perak.

"Ia bagi mendapatkan pengesahan sama ada lembu berkenaan dijangkiti LSD atau tidak dan keputusan makmal dijangka diperoleh petang ini.

"Bagaimanapun, hasil tinjauan di lapangan pagi tadi mendapati lembu berkenaan tidak menunjukkan tanda penyakit itu namun kita ambil langkah pencegahan awal," katanya kepada pemberita selepas meninjau pasar segar terkawal di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, JPVNS diarahkan untuk memastikan pemindahan masuk ternakan dari negeri lain hanya dari kawasan atau mukim yang tidak berlaku gejala yang disyaki LSD.

Bakri berkata, JPVNS juga turut meminta Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah memantau ternakan lembu dan kerbau di setiap daerah selain menasihatkan penternak menjalankan kawalan vektor di ladang masing-masing kerana penyakit itu adalah menerusi bawaan vektor penghisap darah.

"Pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu diminta segera menghubungi pejabat perkhidmatan veterinar berdekatan jika mengesyaki ternakan lembu dalam jagaan atau di kandang menunjukkan gejala penyakit LSD kerana ia termasuk dalam senarai penyakit wajib lapor," katanya.

Beliau berkata, mereka yang gagal melaporkan penyakit ini kepada pihak berkuasa veterinar boleh didenda sehingga tidak melebihi RM25,000 mengikut Seksyen 31(2) dan Seksyen 31(4A) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Beliau turut menegaskan LSD tidak zoonotik dan penyakit berkenaan tidak menjangkiti manusia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak tiga pasar segar terkawal diwujudkan di negeri ini sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh mulai Selasa lalu bagi membantu peniaga memasarkan produk.

Beliau berkata, pasar yang terletak di Paroi, Bandar Seri Jempol dan pusat operasi FAMA Seremban itu juga memberi akses pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barang keperluan dengan penawaran penjimatan sebanyak lima hingga 20 peratus.

Katanya, konsep secara pandu lalu turut dijalankan di pasar tani kekal Paroi dan pusat operasi Fama, manakala secara 'walk-in' di pasar tani kekal Bandar Seri Jempol mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Dalam pada itu, Bakri berkata, Fama Negeri Sembilan telah mewujudkan bilik gerakan Crisis Management Centre (CMC) khas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menjamin rantaian dan sektor pertanian tidak terjejas.

"Bilik gerakan beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam bagi membantu petani dan pengusaha yang menghadapi masalah pemasaran mengenai hasil pertanian. Sebarang pertanyaan boleh hubungi CMC Fama negeri menerusi talian 017-6735191," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:58 PM