LEMBU yang diimport dari Thailand menjalani proses kuarantin dan dikesan mempunyai gejala LSD. Foto/Ihsan MAQIS
LEMBU yang diimport dari Thailand menjalani proses kuarantin dan dikesan mempunyai gejala LSD. Foto/Ihsan MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sejumlah sembilan haiwan ternakan di negeri ini, dikesan dijangkiti penyakit kulit kental berbonjol (LSD) dengan tiga daripadanya terpaksa dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah.

Pengarahnya, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, ternakan berkenaan disahkan positif LSD selepas pemeriksaan terhadap 258 premis membabitkan 6,809 ternakan di seluruh negeri.

"Sehingga Ahad lalu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 48 ekor ternakan dari 29 premis mempunyai tanda dijangkiti penyakit LSD.

"Daripada jumlah itu, 35 kes masih menunggu keputusan, sembilan kes adalah positif dan empat kes adalah negatif. Sebanyak tiga ternakan yang positif juga sudah dilupuskan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Shaharul berkata, LSD adalah penyakit berjangkit yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau, namun ia tidak merebak ke atas manusia.

Katanya, penyakit ini disebabkan virus berasal daripada Afrika dan mula dikesan di Asia Tenggara tahun lalu, dengan ia diklasifikasi sebagai penyakit bawaan vektor.

"Tanda klinikal penyakit ini adalah nodul (pembengkakkan) yang keras dan sakit pada kulit lembu serta boleh merebak antara ternakan.

"Tiada rawatan khusus untuk penyakit ini, tetapi kawalan pencegahan yang paling berkesan adalah dengan vaksinasi. Kawalan pergerakan juga adalah kawalan utama untuk mengelak penyakit ini merebak kepada ternakan sihat lain," katanya.

Berikutan itu, Dr Shaharul menasihatkan penternak melaporkan kepada Pejabat Veterinar terdekat jika didapati terdapat ternakan mereka yang mempunyai tanda klinikal LSD berikutan penyakit ini termasuk dalam senarai penyakit wajib lapor.

"Penternak diminta tidak memindahkan ternakan dan perlu mengasingkan haiwan yang mempunyai tanda klinikal penyakit berkenaan.

"Penternak juga dinasihat menjalankan kawalan vektor (nyamuk, serangga menggigit dan kutu) di ladang masing-masing kerana penyakit ini adalah bawaan vektor penghisap darah," katanya.

Pada 2 Jun lalu, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan penyakit LSD pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 12:28 PM