Razman Zakaria (tiga dari kiri) melawat peniaga kecil di Pasar Awam Bagan Serai. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Razman Zakaria (tiga dari kiri) melawat peniaga kecil di Pasar Awam Bagan Serai. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak memantau secara menyeluruh penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang kini menyerang ternakan lembu dan kerbau terutama di Simpang Pulai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, pemantauan dilakukan termasuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dengan menjual daging yang disahkan menghidap penyakit bawaan dari Thailand itu di pasaran tempatan.

"Setakat ini di Perak, hanya ladang ternakan di Simpang Pulai yang dikesan berlaku penularan wabak itu, namun JPV memberi jaminan bahawa penyakit LSD itu tidak merebak kepada manusia.

"Bagi memastikan daging lembu yang disahkan mempunyai penyakit LSD tidak terlepas ke pasaran, JPV Perak kini menghentikan pengeluaran dari ladang ternakan di Simpang Pulai.

"Pada masa lain, piha berkenaan turut memantau ladang-ladang ternakan lain di Perak," katanya ketika melakukan tinjauan di Pasar Awam Bagan Serai, di sini, hari ini.

Menurutnya, ternakan lembu yang disahkan menghidap penyakit LSD ini akan diasingkan sebelum dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, penternak juga perlu melaporkan kepada JPV jika ternakan mereka mempunyai tanda-tanda penyakit LSD.

"Kegagalan dalam melaporkan perkara itu atau menjual daging lembu yang berpenyakit boleh dikenakan denda RM25,000 mengikut Seksyen 31(4)(a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

"Orang ramai tidak perlu risau kerana sebelum ternakan itu disembelih atau dipasarkan, pihak JPV akan membuat pemeriksaan bagi memastikan ianya tidak bergejala dan selamat untuk dimakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:23 PM