GAMBAR hiasan. NIK ABDULLAH NIK OMAR
GAMBAR hiasan. NIK ABDULLAH NIK OMAR
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Orang ramai diingatkan agar tidak memberi alasan remeh untuk tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana ia akan menimbulkan kesulitan kepada pihak lain.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ini kerana agama menuntut umat Islam untuk melindungi diri daripada sesuatu yang memudaratkan seperti virus Covid-19.

Beliau berkata, ia antara lima maqasid syariah iaitu menjaga nyawa dan seterusnya memberi kebaikan kepada orang ramai.

"Kita tidak boleh terpengaruh dengan pandangan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat, jadi saya minta orang ramai terutama penduduk di Kedah yang sudah mendaftar supaya hadir ke PPV pada tarikh janji temu.

"Jangan beri alasan remeh untuk menarik diri daripada menerima suntikan vaksin kerana ia akan menyukarkan pihak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadzil turut menasihatkan agar orang ramai tidak mengulangi kesilapan segelintir masyarakat ketika sambutan Aidilfitri lalu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Marilah kita sama-sama amalkan kawalan pergerakan kendiri dan tidak menyertai aktiviti berisiko selain tidak menerima tetamu ke rumah bagi mengekang jangkitan Covid-19," katanya.

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Fadzil turut mengucapkan terima kasih kepada tokoh agamawan Kedah, Syeikh Zainul Asri Romli yang sudah menarik balik pandangan dan kenyataan berkenaan vaksin sebelum ini.

Katanya, dengan kenyataan itu, ia akan memberi kesedaran secara tidak langsung kepada semua bahawa agamawan turut mendokong program imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan usaha kerajaan Malaysia bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

"Saya ingin mengajak masyarakat Islam khususnya di negeri ini bersama-sama membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dengan bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

"Mudah-mudahan Allah melindungi kita daripada musibah dan kemudaratan serta mengangkat musibah Covid-19 yang menimpa negeri dan negara kita pada masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 10:21 AM