M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seramai 359 penerima vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula menerima suntikan terbabit di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Penerima vaksin, Khorr Guan Leong, 89, berkata dia mengetahui mengenai program berkenaan selepas diberitahu anaknya yang turut membantu mendaftarkan namanya melalui aplikasi MySejahtera.

"Mula-mula memang gementar, tetapi selepas lihat ramai warga emas lain beratur bagi mengambil suntikan, perasaan bimbang mula hilang.

"Selepas disuntik saya tidak berasa apa-apa dan selepas rehat sebentar juga tidak ada kesan sampingan. Selepas dua minggu saya akan datang bagi suntikan dos kedua," katanya yang sebelum ini mempunyai masalah jantung.

Bagi fasa kedua PICK, sasaran pemberian vaksian adalah bagi golongan berusia 60 tahun ke atas, golongan berisiko dan berpenyakit serta orang kelainan upaya (OKU).

Sehingga 8 April lalu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang memaklumkan, seramai 452,808 individu daripada lebih 1.5 juta yang layak menerima vaksin Covid-19 di Kedah mendaftar sebagai penerima vaksin.

Seorang lagi penerima vaksin, Azizah Lat, 85, berkata dia diyakinkan cucunya yang juga jururawat bagi mengambil suntikan vaksin bagi mengelak berisiko dijangkiti virus Covid-19.

"Cucu banyak memberi penerangan mengenai Covid-19 dan dia juga yang menggalakkan semua ahli keluarga mengambil suntikan vaksin.

"Walaupun sudah mengambil vaksin, saya tetap tidak akan ke mana-mana dan akan duduk di rumah bagi mengelak risiko jangkitan," katanya yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Sementara itu, Penyelaras PPV Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, Dr Aren Sinedeh Lemin berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 400 individu akan menerima vaksin di PPV Stadium Sultan Abdul Halim setiap hari.

PETUGAS Kementerian Kesihatan melakukan proses pemberian vaksin fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kota Setar. FOTO Luqman Hakim Zubir
PETUGAS Kementerian Kesihatan melakukan proses pemberian vaksin fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kota Setar. FOTO Luqman Hakim Zubir

"PPV Stadium Sultan Abdul Halim mempunyai kapasiti sehingga 1,920, namun atas faktor kesesuaian, kita minta orang ramai hadir secara berperingkat dan mengikut jadual ditetapkan PKD Kota Setar.

"Tempoh menunggu dijangka hanya kira-kira 45 minit dan penerima vaksin akan dibantu dalam setiap peringkat bermula dari pendaftaran sehingga selesai pemberian vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:48 PM