GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata jumlah itu membabitkan individu yang sepatutnya disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.

Katanya, antara punca dan mereka tidak hadir adalah mereka bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

"Ada juga yang memaklumkan mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan.

"Selain itu, mereka turut memberitahu bahawa mereka tiada kenderaan untuk hadir ke PPV malah ada yang turut memohon untuk menukar tarikh pada saat akhir," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mohd Fikri memaklumkan kesemua dos vaksin itu sudah diberikan kepada individu lain dalam senarai simpanan (standby list) sedia ada.

"Senarai terbabit adalah mereka yang memenuhi kriteria untuk suntikan vaksin fasa dua. Orang ramai disaran mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Ini susulan kes harian semakin meningkat akhir-akhir ini hingga menjangkau lebih 7,000 kes seluruh negara semalam, termasuk di Kedah yang mencapai angka lebih 300 kes harian," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri memberitahu Kedah kini mempunyai 12 PPV awam, 22 PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 14 PPV klinik swasta dan dua PPV hospital swasta iaitu Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar dan Hospital Pantai, Sungai Petani.

Katanya, PPV klinik swasta dan hospital dijangka akan ditambah lagi selepas ini bagi melancarkan proses suntikan vaksin kepada penduduk.

Sebelum ini, media melaporkan melalui fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sasaran pemberian vaksian ialah golongan berusia 60 tahun ke atas, golongan berisiko dan berpenyakit serta orang kelainan upaya (OKU).

Sehingga 8 April lalu, seramai 452,808 individu daripada lebih 1.5 juta yang layak menerima vaksin Covid-19 di Kedah, mendaftar sebagai penerima vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 10:35 AM