SYEIKH Fadzil Awang (tengah) dan Syeikh Zakaria (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah baharu iaitu RM5,RM7,RM14 dan RM21. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SYEIKH Fadzil Awang (tengah) dan Syeikh Zakaria (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah baharu iaitu RM5,RM7,RM14 dan RM21. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan empat kadar zakat fitrah kepada umat Islam bagi menunaikan kewajipan mereka pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Kedah ialah RM5, RM7, RM14 dan RM21.

Katanya, bagi umat Islam yang berkemampuan, mereka digalakkan untuk membayar dengan kadar lebih baik.

“Sekiranya kita makan beras tempatan dengan kadar hancur lima peratus (RM7) dan mampu bayar lebih pada kadar RM14 iaitu beras import atau RM21 iaitu beras basmathi maka kita digalakkan bayar pada kadar lebih baik.

“Ini kerana agama Islam menggalakkam umatnya membuat perkara yang lebih baik,” katanya semasa sidang media di Menara Zakat di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Fadzil yang juga Mufti Kedah, berkata individu yang tidak berkemampuan dan terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agama Islam memberi kelonggaran kepada mereka.

Sebagai contoh, katanya jika ketua keluarga mempunyai tanggungan anak yang ramai seperti lima orang maka mereka hanya diwajibkan membayar untuk tiga orang sahaja iaitu suami, isteri dan seorang anak.

“Agama Islam tidak membebankan umatnya, zakat fitrah ini adalah untuk membersihkan diri kita daripada kelalaian sepanjang ibadat puasa selain membantu asnaf.

“Cuma pada tahun ini dinasihatkan orang ramai membayar zakat fitrah di awal Ramadan bagi mengelak berlaku kesesakan kaunter zakat,” katanya.

Menurutnya, seramai 3,700 amil yang dilantik akan berada di kaunter yang akan ditentukan kelak dan akan menerima bayaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, LZNK menggalakkan pembayar zakat fitrah membuat pembayaran menerusi beberapa platform dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:36 PM