DAUN ketum yang diletakkan di dalam beg serta peluru hidup dirampas AKSEM daripada seorang lelaki dalam sekatan jalan raya di Kilometer 4.5 Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Pengkalan Hulu, malam tadi. FOTO ihsan AKSEM.
DAUN ketum yang diletakkan di dalam beg serta peluru hidup dirampas AKSEM daripada seorang lelaki dalam sekatan jalan raya di Kilometer 4.5 Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Pengkalan Hulu, malam tadi. FOTO ihsan AKSEM.
Safuri Kamarudin


ANGGOTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) terpaksa mengejar kenderaan pacuan empat roda (4WD) selepas pemandunya melanggar sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 4.5 Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Pengkalan Hulu, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, pemandu kenderaan itu tidak mengendahkan arahan anggota AKSEM agar berhenti, sebaliknya terus memecut ke arah Betong menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengejarnya.

Komander AKSEM Pengkalan Hulu, Asisten Superintendan Kasturi Othman, berkata anggotanya yang mengejar 4WD itu terpaksa memberi amaran sebelum pemandunya akur dan memberhentikan kenderaan.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu lelaki berusia 40-an dan turut bersamanya adalah isterinya berusia 34 tahun dan seorang anak berusia empat tahun.

“Lelaki terbabit mendakwa dia adalah anggota polis negara jiran dan turut menunjukkan kad kuasanya.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui 14 bungkusan dipercayai daun ketum di dalam beg diletak di bawah tempat duduk penumpang hadapan kenderaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Kasturi berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui 20 peluru hidup dan suspek mengaku semua barangan itu adalah untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menahan tiga beranak itu dan membawa mereka ke Pejabat AKSEM Pengkalan Hulu sebelum mereka diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut.

“Ujian air kencing mendapati suspek mendapati dia positif dadah jenis methapethamine dan direman empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

“Nilai rampasan kenderaan dan daun ketum dianggar mencecah RM100,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:41 AM