SUSPEK ditahan selepas bertindak menikam adiknya menggunakan gunting. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan selepas bertindak menikam adiknya menggunakan gunting. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Beaufort: Akibat gagal mendapatkan wang, seorang lelaki bukan sahaja mengamuk merosakkan barang, malah turut menikam kepala adiknya menggunakan gunting di Kampung Pintas, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, suspek berusia 31 tahun dikatakan mengamuk selepas gagal mendapatkan wang yang diminta daripada ibunya disyaki untuk membeli dadah.

Suspek yang berang dikatakan terus mengamuk dan merosakkan barang-barang dalam rumah sambil menjerit-jerit.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, adik suspek berusia 25 tahun yang melihat kejadian kemudian menegur tindakan abangnya sebelum diserang lelaki itu.

Katanya, dua beradik itu kemudian bergelut sebelum suspek bertindak mengambil gunting dan menikam kepala adiknya sebelum berjaya dileraikan ibu mereka.

"Akibat kejadian itu, mangsa luka di kepala dan dada akibat terkena gunting yang digunakan oleh suspek lalu dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

"Susulan laporan yang dibuat oleh ahli keluarga terbabit, sepasukan anggota polis menahan suspek dan merampas gunting yang digunakan ketika kejadian," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek disyaki penagih dadah dan dikatakan meminta wang dipercayai untuk membeli barang terlarang.

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:39 PM