LORI sarat minuman keras tidak bercukai dirampas PPM Kota Kinabalu dalam serbuan di jeti tepi sungai Kampung Bintuka Laut, Beaufort.  FOTO Ihsan PPM
LORI sarat minuman keras tidak bercukai dirampas PPM Kota Kinabalu dalam serbuan di jeti tepi sungai Kampung Bintuka Laut, Beaufort. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan

Beaufort: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki dan merampas 1,758 karton dan botol minuman keras serta tiga lori bernilai hampir RM600,000.

Semua tangkapan lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun itu dijalankan sepasukan anggota dari Markas PPM Wilayah 4 Sabah dalam Op Kontraban di jeti tepi sungai Kampung Bintuka Laut, di sini, semalam.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan minuman keras tidak bercukai, sepasukan anggota PPM membuat serbuan di lokasi terbabit.

"Ketika intipan dilakukan, anggota mengesan tiga lori sarat dengan muatan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

"Beberapa individu dipercayai 'orang tengah' sedang memunggah minuman keras masuk ke lori dari sebuah bot laju di tepi jeti berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, sepasukan anggota PPM kemudian memperkenalkan diri lalu menahan empat lelaki terbabit untuk siasatan.

"PPM turut merampas tiga lori dengan muatan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai, manakala bot yang berada di tepi sungai memecut laju meninggal lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM582,400 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 4:01 PM