Tuan Muhammad menginovasikan minuman cendol dalam tin. FOTO ihsan UMK
Tuan Muhammad menginovasikan minuman cendol dalam tin. FOTO ihsan UMK
Nor Amalina Alias


Bachok: Keterbatasan menikmati cendol yang biasanya diminum di kaki lima atau kedai ketika musim Covid-19 menimbulkan idea buat penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menginovasikan minuman berkenaan dalam bentuk tin.

Lebih menarik, inovasi itu membolehkan penggemar cendol menikmatinya dalam bentuk sedia diminum dan di mana sahaja.

Ilham kreatif itu dihasilkan penuntut, Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin yang melihat belum ada pengusaha cendol memasarkan minuman kegemaran rakyat Malaysia itu dalam bentuk botol atau tin.

Katanya, sehingga kini sebanyak 1,000 tin cendol yang dinamakan VCendol itu sudah laris terjual dengan permintaanya berkali ganda pada Ramadan lalu.

"Pada awalnya, (keadaan) tidak seperti dirancang kerana kaedah penyediaan cendol dalam tin agak rumit sebab kurang sesuai dinikmati secara konsep 'on the go'.

"Ini kerana cendol diketahui mempunyai tempoh hayat yang singkat dan tidak boleh disimpan lama sebab menggunakan santan," katanya.

Penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) ini berkata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UMK akhirnya menemui formula baharu bagi menghasilkan cendol segar yang tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa aslinya dan sedia diminum dalam tin.

Katanya, mereka menggunakan santan sawit menggantikan santan kelapa biasa bagi menghasilkan rasa cendol yang berkualiti tinggi, kaya vitamin, kurang kolestrol dan lemak serta tahan lama.

"Gabungan santan sawit dengan bahan asas cendol seperti gula melaka, kacang merah bersama parutan ais menghasilkan rasa sama seperti menikmati cendol di gerai tambahan pula kedai fizikal tidak dapat beroperasi di musim pandemik," katanya.

Muiz berkata, VCendol kini dipasarkan menerusi syarikatnya, Versatile Food and Beverage melalui pasaran agen, menempatkan produk di pasar raya dan secara dalam talian.

Katanya, dalam tempoh setahun pengeluaran, dia terus menginovasikan cara pembungkusan VCendol daripada botol plastik biasa kepada tin yang lebih bermutu tinggi, menggunakan teknologi 'hot filling' dan divariasikan kepada tiga perisa iaitu Pandan, Mangga dan Strawberi yang dijual dengan harga RM6.50 sebotol.

Hasil inovasi bersama Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Institut Keusahawanan (UMKEI) ini berjaya membolehkan inovasi VCendol memenangi beberapa anugerah seperti Pingat Emas di Pertandingan 11th Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx 2021) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pingat Emas di eCarnival Research and Innovation (eCRI 2020) anjuran UMK dan Pingat Perak bagi Pertandingan Rekacipta (PEREKA 2020) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 10:00 AM