Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman (tengah) bersama dengan sebahagian 150 penuntut UMK yang menerima Anugerah Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar diraikan dalam Majlis Anugerah Siswa Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Kelantan (MAS-UMK) 2017 di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman (tengah) bersama dengan sebahagian 150 penuntut UMK yang menerima Anugerah Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar diraikan dalam Majlis Anugerah Siswa Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Kelantan (MAS-UMK) 2017 di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 150 penuntut cemerlang dari tiga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dirai pada Majlis Anugerah Siswa Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di Kota Bharu, malam tadi.

Sebanyak 15 anugerah disampaikan antaranya termasuk, Anugerah Utama Tokoh Siswa UMK, Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Anugerah Pemimpin Fakulti.

Seorang penerima Anugerah Utama Tokoh Siswa UMK, Muhamad Amirul Haizad Mohd Zaini, 23, berkata, tidak menyangka akan memperoleh anugerah itu yang disifatkan sebagai pencapaian terbaik pernah dirangkul setakat ini.

Dia yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kesihatan berkata, anugerah itu pembakar semangatnya untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Ini penghargaan tertinggi yang saya terima dan saya akan jadikan ia pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih demi kejayaan di masa depan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman berkata, penuntut dipilih menerima anugerah itu diukur berdasarkan kecemerlangan akademik dan aspek lain termasuk kemahiran insaniah di luar bilik kuliah.

"Walaupun UMK dianggap sebuah universiti baru, namun kami sudah menghasilkan penuntut daripada segenap aspek sehingga berjaya melakar nama ke peringkat antarabangsa.

“Pada awal tahun ini, penuntut kami berjaya menempa nama dalam pertandingan pidato di Sri Lanka dengan merangkul tempat kedua dalam pertandingan itu.

"Justeru, anugerah yang disampaikan malam ini adalah untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mahasiswa serta mahasiswi yang bergiat aktif dalam semua aspek serta turut mengharumkan nama UMK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 11:40 AM