PELAJAR SMK Raja Sakti yang memenangi pingat perak dalam pertandingan sempena KLESF 2016 bersama penasihat program.
PELAJAR SMK Raja Sakti yang memenangi pingat perak dalam pertandingan sempena KLESF 2016 bersama penasihat program.

SMK Raja Sakti, Kota Jembal, Kelantan, memenangi pingat perak dalam pertandingan Young Innovate 2016 sempena Pesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur (KLESF) 2016 di Pusat Pameran Konvensyen Antarabangsa Mines (MIEC), Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Pasukan berkenaan yang mewakili Kelantan berjaya meraih pingat itu menerusi prototaip Portable and Eco-Friendly Air Conditioner yang dihasil­kan Abdul Qayyum Abdul Razak, Muhamad Noor Akasyah Muhamad Azmi, Muhammad Amar Abdul­lah serta Raja Muhammad Syarifuddin Raja Soh di bawah bimbingan guru pengiring Zainee Mohd Ishak.

Mengulas kejayaan itu, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti) selaku Pengarah InsPeK Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Rosdi Ab Rahman berkata, pe­nyertaan sekolah itu pada KLESF 2016 bertujuan menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, selain aktiviti pembelajaran dalam kelas, pelajar juga perlu dipupuk menyertai pelbagai pertandingan bagi merangsang minat.

“Young Innovate adalah program tahunan yang menjadi pemangkin pergerakan di sekolah menengah melalui pertandingan reka bentuk sistem bagi memberi inspirasi dan memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Justeru, konsep pembelajaran sains yang menyeronokkan antara aspek penting membantu memupuk minat pelajar mengambil aliran sains dan teknologi.

“Penyertaan ini boleh dijadikan platform untuk mengembangkan daya kreativiti masing-masing. Meraih kemenangan pula satu bonus untuk mendorong kejayaan lebih besar pada masa depan,” katanya.

Selain SMK Raja Sakti, dua sekolah yang terpilih mewakili Kelantan ke KLESF 2016 ialah SMK Kubang Kerian 1 dan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra.

Sebelum ini, program berkenaan dipertanding­kan peringkat negeri anjuran Jabatan Pendidikan Kelantan de­ngan kerjasama Institut Penyelidikan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) dan Dream Catcher di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa dengan penyertaan 30 sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 2:01 PM